Menjengah Rumah ALLAH : Episod 1

Aku memang sudah lama mengimpikan untuk  menjejakkan kaki ke tanah suci. Kadang-kadang cemburu mendengar kisah dan pengalaman kawan-kawan dan saudara yang sudah berpeluang mengerjakan ibadat haji dan umrah. Alhamdullilah sejak berpindah ke Qatar ni, peluang ke tanah suci menjadi lebih mudah. Kami di sini boleh memilih untuk menyertai rombongan yang dianjurkan Sekretariat Umrah dan Haji Malaysian Assocciation of Qatar dengan bas atau memandu 1600 km dengan kenderaan sendiri. Namun sudah beberapa kali niat ku untuk berkunjung ke Baitullah tergendala. Ada saja penghalangnya. Tapi impian itu terkabul juga pada 16 March lepas. Kami yang tidak merancang untuk mengerjakan umrah ketika ini kerana Hani masih dalam trimester pertama mengandung anak kedua kami, dan Zachary masih terlalu kecil, terpanggil dengan ajakan kawan-kawan. Kami tidak mempunyai banyak masa untuk membuat ulangkaji dan persediaan. Sedang Hani membaca buku panduan umrah yang tebal, aku pula hanya membaca 'Umrah Guide for The Young Ones', risalah ringkas panduan ibadat umrah buat anak-anak kecil yang aku temui di internet. Cukuplah.. ukur baju di badan sendiri.

Alhamdullilah ibadat Umrah kami dipermudahkan walau terpaksa berhadapan ujian dan cabaran kerana membawa bayi kami, Zachary yang baru berusia 10 bulan. Antara cabarannya, Zachary mengalami cirit-birit sepanjang 5 hari perjalanan.

Rabu 16 March 2011

Kami sekeluarga bersama 7 sahabat yang lain dengan dua buah kenderaan (Mazda CX9 dan Dodge Nitro) memulakan perjalanan selepas Isyak. Alhamdullilah urusan imigresen di sempadan Qatar dan Saudi berjalan lancar walaupun terdapat sedikit ganguan pada sistem komputer di Imigresen Saudi. Hani juga lulus proses imbasan jari kerana kami begitu khuatir jika dia gagal proses imbasan jari dan dilarang memasuki Saudi kerana alahan yang menyebabkan kulit jarinya mengelupas.   

Lepas saja imigresen Saudi, kami terus memandu dalam kepekatan malam ke arah Hofuf berpandukan GPS. Lebuh raya Saudi yang gelap ditambah road line marking samar-samar agak mencabar pemanduan. Tidak tercabar dengan pemandu lain yang rata-rata memandu begitu laju, aku cuma memandu dengan kadar kelajuan 120-140 km/j. Pada aku, tak perlu nak tergesa-gesa. Keselamatan keluarga adalan lebih penting dan tak akan lari Mekah dikejar. Berbekalkan Nescafe, Redbull, Coke dan jajan lain, mataku terus segar sedang, Hani, Zachary dan co-pilot kami, Khizmie lena diulit mimpi. Kami mamandu sepanjang malam tanpa henti (kecuali sekai untuk mengisi minyak selepas imigresen dan sekali sewaktu aku terpaksa melepaskan hajat ditepi jalan) mujur aku dapat berkomunikasi dengan geng-geng CX9 melalui walkie-talkie.
   
Kami akhirnya berhenti untuk solat subuh, mengalas perut dan meluruskan urat-urat yang tegang setelah 8 jam terpaku di tempat duduk kenderaan. Lampin pakai buang Zachary yang tidur sepanjang malam rupa-rupanya telah penuh dengan cirit, dan bermulalah kisah kami menyalin lampin Zachary disetiap hentian.

Ala anak papa  ni berak pulak (Photo by Fairul)

Khamis 17 March 2011

Selepas subuh, Khizmie mengambil alih tugas sebagai pemandu dan kami meneruskan perjalanan ke arah barat melalui bandaraya Riyadh yang sibuk dan pemandangan bukit-bukit batu dan lembah di kiri-kanan jalan yang menakjubkan.

Antara pemandangan yang menakjubkan sepanjang jalan (Photo by Fairul)

Menjelang tengahari, minyak kenderaan kami perlu diisi semula. Perut kami juga mula lapar minta diisi dan lampin Zachary juga perlu ditukar. Kami berhenti di satu hentian yang lengkap dengan stesen minyak. Looks very promising. Sayangnya restoran di hentian tersebut masih ditutup. Sebahagian kami pergi menjengah tandas tetapi masing-masing meluru keluar dengan hilai tawa. Khabarnya terdapat banyak pisang goreng terapung dalam tandas tersebut. Sungguh potong stim. Aku pula menggunakan but kereta sebagai changing table untuk menukar lampin Zachary.


Purple Stop yang horor bak kata Fairul (Photo by Fairul)

Akhirnya kami berhenti di satu hentian dan menikmati nasi mandey yang pada aku paling sedap pernah aku rasa (atau mungkin kerana sudah terlalu lapar. Oh ya kami juga menukar lampin Zachary disini.


The best Nasi Mandey..

Selepas makan dan solat, kami meneruskan perjalanan menuju ke Taif untuk miqat. Kami sampai di Qarn Al Manazil sejurus masuk waktu asar. Sedang Hani dan yang lain-lain pergi ke bilik air untuk mandi sunat, aku pula, menukar pakaian dan sekali lagi menukar lampin Zachary. Risau juga dengan keadaan Zachary. Cirit-biritnya semakin teruk. Cuaca yang tadi mendung kini bertukar hujan. Zachary pula mula menangis tersesak-esak. Tak tahu sebab apa. Sakit perut agaknya atau mungkin dia mencari mama nya. Stress juga aku ketika itu. Member lain semua sudah siap, yang tinggal hanya aku yang masih belum mandi dan bersolat sunat. Memang agak menguji kesabaran juga ketika itu.

Selesai mandi sunat, aku bergegas ke masjid untuk solat sunat. Pertama kali mengenakan ihram, aku berasa satu perasaan yang lain. Luar bisa, yang sukar aku gambarkan. Aku merasa betapa kerdil dan hinanya kita sebagai mahluk ALLAH dan setiap manusia tiada bezanya di sisi yang maha agung. Yang membezakan antara umat manusia itu hanyalah amal dan taqwanya.


Kami berniat ihram apabila berada didalam kenderaan. Aku meyuruh Khizmie mengambil alih tempat sebagai pemandu kerana dia sudah beberapa kali ke Mekah, tetapi dia mengatakan yang dia tak confident untuk memandu dalam keadaan trafik di Mekah. Kami meninggalkan Qarn al Manazil dan melalui lebuh raya empat lorong yang agak sempit sambil berTalbiyah. Hujan yang tadi gerimis, kini mula lebat hingga menyekat pandangan. Dalam pada aku memandu berhati-hati sambil mulut kuat melaungkan Talbiah, ada juga pemandu-pemandu yang kurang sabar dan tidak bertimbang rasa dengan memandu laju, memotong sesuka hati dan menggunakan lorong kecemasan. Rizal yang memandu CX9 juga memandu dengn agak laju. Susah juga nak fokus antara berTalbiyah, memandu dan marah-marah lepas geram dalam hati. Aku cuba untuk mengekorinya supaya tidak tertinggal jauh.. hanya mampu berdoa. 'Ya ALLAH andainya sampai masanya untuk aku kembali pada MU waktu ini, dikala aku menuju ke rumahMU untuk mengerjakan ibadah Umrah, sesungguhnya aku redha'.
Bersambung di Episod 2

Comments

Fairul said…
Syafei..reading entry ni rasa nak pergi lagi la Umrah. Seronok laen mcm je haritu kan..despite all the hurdles..heheh

Popular posts from this blog

Kamus Loghat Muar / Tangkak

Hujan Emas di Qatar

Dad to be