Jaguh Kampung

Aku memang sudah lama meminati sukan olahraga terutama acara larian semenjak dari kecil lagi. Permainan kegemaranku waktu kecil semuanya melibatkan larian seperti kejar-kejar, police sentry, baling selipar dsb.  Orang yang menjadi inspirasi aku ketika itu adalah bekas atlet kebangsaan acara 400m, Nordin Jadi. Beliau sekampung dengan aku dan keluarga kami agak rapat. Walaupun aku tidak mengenali beliau secara peribadi, tetapi aku merasa cukup mengenalinya melalui cerita Makcik dan Mak Langku. Dan aku juga berkawan baik dengan anak saudara beliau, Kak Kamariah dan Bahariah. Orang kampung mengenali beliau dengan nama Sahak. Aku selalu berangan ingin mewakili Malaysia ke Sukan SEA, Sukan Asia, dan Olimpik seperti Nordin. Nordin juga adalah bekas pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah yang sama denganku, Sekolah Kebangsaan Paya Mas dan Sekolah Menengah Tun Mamat (SMTM) Tangkak. Aku percaya rekod-rekod catatan masa beliau masih lagi kekal sehingga ke hari ini.

Tidak seperti Nordin yang mencipta nama dalam acara 200m, 400m dan 800m, acara kegemaranku waktu di sekolah menengah adalah 5000m dan merentas desa. Walaupun aku juga mewakili rumah sukan Mahameru dalam acara 800m, 1500m dan 3000m Jalan Kaki. Pencapaian terbaik aku waktu sekolah adalah dengan memenangi 3 Perak (5000m, 1500m dan 3000m Jalan Kaki) dan 1 Gangsa (800m) ketika kejohanan Olahraga SMTM tahun1993. Aku seterusnya dipilih mewakili SMTM ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Tangkak pada tahun tersebut yang diadakan di Sekolah Menengah Tengku Mahmud Iskandar dalam acara 5000m, 1500m dan 3000m Jalan Kaki. Bertanding dengan jaguh-jaguh dari seluruh Daerah Tangkak, nasib tidak menyebelahi aku waktu itu kerana hanya berada pada kedudukan 2 terakhir bagi acara 5000m dan terakhir dalam acara 1500m. Aku pula tidak dapat menyertai acara 3000m Jalan Kaki kerana bas yang membawa kontingen SMTM sampai lewat dan acara sudah lama dimulakan. Aku merayu agar guru sukan sekolah kami dapat menghantar aku terlebih dahulu kerana acara aku bermula awal, tetapi cikgu tersebut langsung tidak mengendahkan permintaan aku dan mengarahkan aku menaiki bas bersama rakan-rakan lain.

Aku merasa agak terkilan kerana pihak pengurusan SMTM langsung tidak menitik beratkan pembagunan sukan dan olahraga ketika itu. Kami juga tidak dilatih secara sistematik dan tidak mempunyai sebarang jadual dan rancangan latihan dan hanya berlatih sendiri tanpa tunjuk ajar dan nasihat. Aku sememangnya bukan 'natural born runner' tembahan dengan tubuh yang kecil dan rendah tetapi aku mempunyai semangat dan keazaman yang tinggi. Aku yakin aku mampu pergi jauh dalam sukan olahraga sekiranya diberi peluang dan latihan yang betul. Kalau lah ada internet ketika itu, tentu aku dapat mencari maklumat dan program latihan yang disediakan jurulatih yang berkemahiran seperti sekrang ini. Aku juga tak berpeluang untuk berjumpa dengan Nordin Jadi untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar kerana beliau telah meninggalkan kampung dan berhijrah ke Johor Bahru sewaktu aku belum bersekolah lagi.
...........................

Update,

Sebaik sahaja aku post blog ni, aku ditakdirkan 'bertemu' dengan Nordin Jadi di laman Facebook, dan telah meng'add' beliau. Nordin kini sedang giat mengurus dan melatih atlet2 olahraga di bawah kelabnya sendiri, Nordin Jadi Athletic Club. Syabas dan selamat maju jaya untuk beliau. Semoga usaha beliau dapat membantu mengembalikan semula kecemerlangan sukan olahraga tanahair yang kian suram.

Comments

Popular posts from this blog

Kamus Loghat Muar / Tangkak

Hujan Emas di Qatar

Dad to be