Mothers Day Series - Episode 3 : Telefon berbunyi ring ring ring

Akhir-akhir ini Zachary langsung tak mahu berenggang dengan kami, terutama sekali dengan mama nya. Kalau waktu siang tu dia berdampingan seharian dengan Hani, sampaikan Hani nak buat kerja rumah pun susah. Zachary siap peluk-peluk kaki hani erat-erat sambil merebahkan dirinya ke lantai tanda protes minta didukung. Lepas tu nak tidur pun susah sebab dia menahan mata, tak mahu berpisah atau takut ditinggalkan oleh kami (separation anxiety). Itulah dia, anak-anak tempatnya adalah bersama ibu-bapa, especially mothers.

Teringat masa kecil aku di kampung, ketika itu mana ada handphone, skype dan peralatan komunikasi yang canggih manggih ni, telefon rumah pun tak ada. Jadi untuk melepas rindu aku sentiasa berutus surat dengan Mak. Hari ni pos, 5 hari baru sampai JB. Kalau mak balas terus, minggu berikutnya lah baru aku terima balasan darinya. Setiap kali posmen lalu, hati aku berdebar-debar, tertunggu-tunggu ada tak surat untuk aku dari Mak. Sehinggalah satu hari, aku menulis surat yang betul-betul membuat Mak tersentak dan menangis di tempat kerjanya. Ini aku ceritakan di dalam Final Episode : Surat buat Mak. Selepas menerima surat tersebut, Mak telah membuat satu arrangement di mana dia akan menelefon aku seminggu sekali.

Aku bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Paya Mas dan bersekolah agama di sekolah yang sama di sebelah petang bermula dari jam 2 petang. Mak akan menelefon rumah Penghulu Atan yang letaknya betul-betul bersebelahan dengan sekolah aku setiap Isnin pada jam 1 petang dari pejabat tempatnya bekerja di PC Holdings. Ketika itu tiada istilah Monday Blues buat aku, kerana setiap Isnin aku dapat bercakap dengan Mak di telefon. Setiap Isnin sebelum jam 1 petang aku akan berada di kerusi ruang tamu rumah Penghulu Atan dengan hati berdebar-debar menunggu panggilan. Kadang-kadang Mak terlewat untuk menelefon, aku yang menunggu di hujung talian terus menunggu dengan cemas, jangan-jangan Mak tak telefon. Kadang-kadang telefon tersebut berbunyi tetapi bukan untuk aku, tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan aku masa tu.

Mengenang saat-saat itu aku terfikir, kalau dulu aku sentiasa ingin mendengar suara mak di gagang telefon, kenapa sekarang aku kerap alpa untuk menghubunginya selalu...

Comments

nughul said…
hmmm sedih plak baca..mak sanggup jer buat pe pun utk kite kan..? looking forward utk episode surat yg buat mak kitak decided to call u every week tu..

:)
Anonymous said…
ya lah knp kita alpa dri menghubungi nya

Popular posts from this blog

Kamus Loghat Muar / Tangkak

Triclub Doha Aquathlon 8

Hujan Emas di Qatar